Jurnal Pendidikan Guru Malaysia (Malaysian Journal of Teacher

        Education). 1992. 8. 1-15. 

 

            MEMPERKEMBANGKAN DAYA PEMIKIRAN PELAJAR

                 MELALUI MATA PELAJARAN KBSM

 

 

                        John Arul Phillips

 

         PENGENALAN

              Kebolehan berfikir dengan berkesan sangat penting  dalam

         dunia  yang  kian  komplek  dan canggih.  Menghadapi cabaran-

         cabaran kehidupan seharian tidak hanya memerlukan pengetahuan

         yang cukup tetapi juga kemahiran mengaplikasi pengetahuan itu

         dalam berbagai-bagai situasi.  Modenasasi dan perubahan  yang

         pesat mededahkan individu kepada pelbagai pilihan dan opsyen

         yang  memerlukan  kemahiran  dan  kepakaran membuat keputusan

         dengan  berkesan.  Kerap-kali  individu-individu  dikehendaki

         membuat  keputusan  dan  menyelesai masalah mengenai pelbagai

         perkara  dan  isu.  Isu-isu ini mungkin bermula daripada yang

         mudah seperti memilih jenama sabun hingga  membuat  keputusan

         mengenai   masa   depan  negara  seperti  membuang  mengundi. 

         Kepesatan  perkembangan  media  massa  dan  ledakan  maklumat

         membebankan  individu  dengan  berbagai-bagai  maklumat  yang

         bertujuan mempengaruhi dan juga mengelirukan.  Oleh  demikian

         memang  sukar  membayangkan  sesuatu situasi dimana kemahiran

         berfikir tidak diperlukan. 

              Dalam  masa  50  tahun  yang  lampau,   ramai  ahli-ahli

         psikologi telah menumpukan penyiasatan mereka kepada memahami

         bagaimana manusia berfikir.  Satu pertanyaan ialah  sama  ada

         kita  boleh menggunakan apa yang diketahui tentang perjalanan

         minda  manusia  untuk  mempertingkatkan  kemahiran   berfikir

         terutama di  sekolah-sekolah.  Tidak  seorang  pendidik  akan

         menafikan bahawa matlamat penting sistem persekolahan ialah

         untuk memperkembangkan  daya  pemikiran  pelajar.  Malangnya,

         matlamat ini tidak diberi perhatian sewajarnya dan kerap-kali

         diketepikan sama sekali. 

              Pelajar didedahkan kepada fakta sesuatu  mata  pelajaran

         tetapi  tidak  diajar  berfikir  tentang isi yang dipelajari. 

         Pengajaran terlalu menekankan kepada penyampaian `fakta' atau

         maklumat,  iaitu "mengetahui apa";  sambil  mengabaikan  cara

         menggunakan atau mencari maklumat sendiri,  iaitu "mengetahui

         bagaimana".  Mengikut Raths (1971),  oleh  kerana  pengajaran

         pemikiran  diabaikan  kemahiran  berfikir,  pelajar  didapati

         sangat bergantung kepada guru  dan  bertingkahlaku  impulsif,

         dogmatik dan malas memberi pendapat. 


 

         MENGAPAKAH PENGAJARAN PEMIKIRAN KURANG DITITIKBERATKAN?

              Dalam perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah  Menengah

         (KBSM) satu aspek penting yang disarankan tentang pengajaran-

         pembelajaran ialah

      

                  para    pelajar    tidak   hanya   menerima

                  pengetahuan   semata-mata   tetapi   mereka

                  seharusnya dapat menyatakan  idea,  fikiran

                  dan   pendapat   dengan  jelas,   objektif,

                  kreatif,   rasional  dalam  semua  situasi. 

                  Untuk  mencapai  hasrat  ini.  peluang bagi

                  meningkatkan daya intelek perlu  diwujudkan

                  supaya  pemikiran  yang kritis dan analitis

                  akan menjadi salah satu aspek yang  penting

                  dalam   tiap-tiap   aktiviti   pembelajaran

                  (Pusat Perkembangan Kurikulum,1989,h.5). 

 

        

         Walau  bagaimana  pun  pengajaran  di  sekolah-sekolah  masih

         kurang memberi perhatian kepada perkembangan  daya  pemikiran

         pelajar.   Terdapat   beberapa   sebab   mengapa   pengajaran

         pemikiran   tidak   ditekankan.   Pertama,   ialah   pendapat

         setengah-setengah  guru  bahawa pelajar perlu terlebih dahulu

         menguasai semua  fakta  dan  konsep  sesuatu  mata  pelajaran

         sebelum  mereka  boleh  digalakkan  berfikir.  Tetapi sesudah

         mengajar semua fakta dan konsep,  masa pula tidak mengizinkan

         untuk menggalakkan mereka berfikir. 

              Kedua  ialah  penekanan  peperiksaan  yang  mementingkan

         pengujian kebolehan pelajar mengingat kembali  fakta.  Secara

         tidak  langsung ini mempengaruhi setengah-setengah guru untuk

         memberi banyak fakta dan mengutamakan penghafalan dan  kurang

         menggalakkan  supaya  pelajar  berfikir  tentang  fakta  yang

         dipelajari.  Amalan seumpama ini bercanggah dengan salah satu

         prinsip utama pembelajaran yang menyatakan  "bukan  apa  yang

         disampaiakan  kepada pelajar tetapi apa yang mendorong mereka

         melakukan sesuatu  ke  atas  maklumat  itu  yang  menyebabkan

         pembelajaran" (Markle,1977,h:13). 

              Ketiga ialah  pandangan  setengah-setengah  guru  bahawa

         pengajaran kemahiran berfikir akan mengambil masa yang banyak

         serta   membebankan   guru.   Oleh  itu  lebih  memadai  jika

         pengajaran pemikiran ditumpukan kepada  pelajar  yang  pintar

         sahaja. 

              Keempat,  dan  paling  nyata  ialah  pengakuan setengah-

         setengah  guru  bahawa  mereka  sendiri   tidak   tahu   cara

         mempertingkatkan daya pemikiran pelajar mereka.  Mereka sudah

         biasa mengajar pelajar untuk menghadapi peperiksaan dan ragu-

         ragu   apabila  dicadangkan  supaya  daya  pemikiran  pelajar

         diperkembangkan.  Mereka berpendapat bahawa mengajar  pelajar

         menguasai  maklumat  untuk  peperiksaan  dan memperkembangkan

         daya  pemikiran  adalah  dua  matlamat  yang  berlainan   dan

         bercanggah. 

 

         BOLEHKAH   KEMAHIRAN  BERFIKIR  DIAJAR?  

              Setiap insan tahu berfikir  kerana  ini  adalah  sesuatu

         yang  dianugerahi Tuhan sejak dilahir.  Walau pun sukar untuk

         mempengaruhi  bagaimana  seseorang  itu  berfikir,   terdapat

         bukti-bukti  penyelidikan  yang mencadangkan bahawa kemahiran

         berfikir boleh dipertingkatkan.  Terdapat pelbagai usaha  dan

         program  yang  diperkenalkan  di  merata  tempat  seperti  di

         Amerika  Syarikat,  Venezuela  dan  Singapura  dengan  tujuan

         mempertingkatkan  daya  pemikiran  pelajar.  Antaranya ialah,

         The  Productive  Thinking  Program,   CoRT,   Philosophy  for

         Children,  The Instrumental Enrichment Program, Accent on the

         Development of Abstract Process of Thought (ADAPT), Stress on

         Analytical  Reasoning  (SOAR)   dan   sebagainya.   Setengah-

         setengah  program ini telah berjaya dengan cemerlang manakala

         yang lain tidak membawa kesan yang ketara. 

              Usaha memperkembangkan daya pemikiran  pelajar  haruslah

         berasaskan  kepada definisi operasional pemikiran yang mantap

         dan  menyeluroh.  Malangnya,  satu  definisi  yang  memuaskan

         mengenai konsep pemikiran masih dipertikaikan kerana terdapat

         percanggahan   pendapat   di   kalangan  pakar  dalam  bidang

         berkenaan.  Bartlett  (1958)  menyifatkan  pemikiran  sebagai

         usaha  mengisi  maklumat  yang tidak ada (iaitu interpolasi);

         memberi maklumat  lanjutan  berdasarkan  maklumat  sedia  ada

         (iaitu  esktrapolasi);  dan  menyusun  semula maklumat supaya

         wujud tafsiran baru (iaitu mentafsir  semula).  Mayer  (1977)

         melihat  pemikiran  sebagai  melibatkan  pengolahan  operasi-

         operasi mental tertentu yang berlaku dalam minda atau  sistem

         kognitif seseorang yang bertujuan menyelesaikan masalah. 

              Menurut  Fraenkel  (1980)  pemikiran  ialah  pembentukan

         idea,  pembentukan  semula pengalaman dan penyusunan maklumat

         dalam bentuk  tertentu.   Chaffee  (1988)   pula  menyifatkan

         pemikiran  sebagai  proses  luar  biasa  yang digunakan dalam

         membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.  Menurut De Bono

         (1985), pemikiran berlaku apabila kecerdasan bertindak dengan

         pengalaman bagi  mencapai  sesuatu.  Nickerson,  Perkins  dan

         Smith   (1985)   melihat   pemikiran  sebagai  suatu  koleksi

         kemahiran atau operasi mental yang digunakan oleh  seseorang. 

         Takrifan  ini  menarik  sekali  kerana ia mencadangkan bahawa

         proses pemikiran seseorang mungkin lemah atau tidak dilakukan

         dengan berkesan.  Dengan perkataan lain,  kemahiran  berfikir

         boleh  dipertingkatkan melalui pengajaran kemahiran-kemahiran

         berkenaan.   Berdasarkan  prinsip   ini   dicadangkan program 

         P.A.D.I. (Peningkatan  dan Asuhan Daya Intelek).

 

         DIMENSI-DIMENSI PROGRAM P.A.D.I.

              Program P.A.D.I.  adalah hasil  daripada  pengubahsuaian

         dan  penyesuaian  beberapa  program pemikiran yang sedia ada. 

         Program ini berasaskan kepada prinsip yang menegaskan  bahawa

         proses   pemikiran  melibatkan  pengolahan  beberapa  operasi

         mental atau kemahiran  berfikir.  Tujuan  utama  program  ini

         ialah  untuk  memperkembangkan  daya  pemikiran pelajar serta

         memberikan  mereka  peluang  menggunakan   atau   mengamalkan

         operasi-operasi  mental  berkenaan  dalam mata pelajaran yang

         dipelajari.  Program P.A.D.I.  terdiri daripada tiga  dimensi

         (lihat Rajah 1). 

    

     

                       Dimensi I : MATA PELAJARAN

        

                       

 

 

 

 

 

        Dimensi II: GURU                       Dimensi III: PELAJAR

 

         

 

               Rajah 1: Dimensi-Dimensi Program P.A.D.I. (Peningkatan

                        dan Asuhan Daya Intelek)

 

 

              Dimensi  I  merujuk kepada MATA PELAJARAN yang diajar di

         sekolah.  Usaha memperkembangkan kemahiran berfikir dilakukan

         melalui  mata  pelajaran  seperti   Bahasa   Melayu,   Bahasa

         Inggeris,  Sejarah, Sains, Geografi, Perdagangan dan Ekonomi. 

         Sebenarnya,  semua mata  pelajaran  boleh  disesuaikan  untuk

         memperkembangkan  kemahiran  berfikir.  Program ini berpegang

         kepada  andaian  bahawa  kegiatan  pemikiran  bermula  dengan

         menggunakan   isi   mata   pelajaran.   Menggalakkan  pelajar

         berfikir merangsangkan mereka berinteraksi dengan fakta  yang

         disampaikan.  Ini  pula  akan memperkukuhkan pembelajaran dan

         seterusnya meningkatkan pencapaian mereka  (lihat  Rajah  2). 

         Dengan  perkataan lain,  aktiviti-aktiviti kemahiran berfikir

         yang diperkembangkan semasa  penguasaan  fakta  sesuatu  mata

         pelajaran  secara  tidak  langsung  akan  membantu pencapaian

         dalam mata pelajaran itu. 

 

                               PEMIKIRAN

 

 

 

 

 

 

 


               PEMBELAJARAN                 PENCAPAIAN

 

 

              Rajah 2: Interaksi di antara pemikiran,

                       pembelajaran dan pencapaian.

 

 

              Dimensi  II melibatkan PELAJAR dan merujuk kepada jenis-

         jenis kemahiran berfikir dan  kemahiran  belajar  yang  ingin

         diperkembangkan  serta  sikap  yang  ingin  dilahirkan (lihat

         Jadual 1).  Kemahiran berfikir  dan  kemahiran  belajar  yang

         terpilih  ini  merupakan kemahiran-kemahiran yang lebih mudah

         ditakrif dan dioperasikan dalam mata pelajaran  yang  diajar. 

         Senarai  kemahiran-kemahiran ini tidaklah merupakan yang luar

         biasa dan telah pun  diselitkan  dalam  pengajaran  setengah-

         setengah   guru.   Sekiranya   dahulu   pengajaran  kemahiran

         berfikir  dan  kemahiran  belajar  dilakukan   secara   tidak

         langsung,  di  bawah  program P.A.D.I.  pengajaran kemahiran-

         kemahiran ini disengajakan dengan perancangan yang teliti. 

 

 

         ____________________________________________________________

              KEMAHIRAN BERFIKIR                KEMAHIRAN BELAJAR

         ____________________________________________________________

 

               mengelas                           meringkas dan

               mencadangkan alternatif              membuat nota

               membina konsep                     menggunakan indeks

               mengesan bias/prejudis             menggunakan daftar

               mengesan kesahan/                    kata /kandungan

                kebolehpercayaan                  menggunakan klu

               membuat inferen                      konteks

               menganalisis hubung kait           menggunakan kamus

               membeza sebab dan kesan            mentafsir maklumat

               mengaplikasi                         grafik

               membeza fakta dan andaian          mengenal pasti

               menilai                              struktur teks

               membuat generalisasi

               membeza                    

               membanding                

               membuat ramalan/meneka          

               memerihal

               memerhati

               menguji hipotesis

         ____________________________________________________________

 

 

               Jadual 1: Kemahiran Berfikir dan Kemahiran

                              Belajar Terpilih

 

 

 

              Kesan  daripada  perkembangkan  daya  pemikiran  pelajar

         ialah  kelahiran  sikap-sikap  tertentu  di kalangan pelajar. 

         Antaranya ialah sikap-sikap seperti;

                * sikap ingin tahu, 

                * menghormati pendapat orang lain, 

                * sedar  tentang proses  pemikiran sendiri, 

                * peka terhadap maklumat yang dibaca dan dengar,

                * minda terbuka dan tidak mudah terpedaya. 

         Juga ingin dilahirkan ialah sikap  mahu  bertanya  dan  minta

         penjelasan  apabila  timbulnya  kemuskilan  atau  kekeliruan. 

         Sepertimana  dinyatakan  oleh  Halpern,  "Thinking  is  not a

         spectator sport" (1985,h:21). 

              Dimensi  III  ialah   GURU.   Guru   merupakan   dimensi

         terpenting  dalam  memperkembangkan  daya  pemikiran pelajar.  

         Sebagai langkah permulaan mereka  hendaklah  menerima  konsep

         asas  program  P.A.D.I.  dan  ingin  mencuba  idea-idea  yang

         dicadangkan.  Tanpa minat dan  keyakinan  guru  adalah  sukar

         untuk  menentukan  kejayaan  program seumpama ini (Nickerson,

         Perkins dan Smith,1985).  Guru hendaklah elak merasai  bahawa

         program   ini   akan   bebankan   mereka   atau   berpendapat

         perkembangan  kemahiran  berfikir   dan   kemahiran   belajar

         membuang  masa  kerana  tidak  ada kaitan dengan peperiksaan. 

         Manakala sebaliknya,  menggalakkan pelajar  berfikir  tentang

         maklumat  yang  diperlajari  akan memperkukuhkan pembelajaran

         dan seterusnya membantu mereka mengingat kembali  fakta-fakta

         penting. 

              Seterusnya guru perlu mengetahui dan  menghayati  jenis-

         jenis  kemahiran  berfikir  dan  kemahiran belajar yang ingin

         diperkembangkan (lihat Jadual 1).  Kemudian mereka  hendaklah

         mengetahui  cara mengoperasikan kemahiran-kemahiran itu dalam

         bilik darjah.  Tugas mereka ialah untuk menyusunkan aktiviti-

         aktiviti   supaya   memberi   pelajar   peluang   mengamalkan

         kemahiran-kemahiran  tersebut.  Sambil  itu  guru mesti sedar

         tentang  tanggungjawab   mereka   mewujudkan   suasana   yang

         menggalakkan pelajar berfikir dan ingin bertanya. 

              Bagaimanakah guru dapat mewujudkan suasana seumpama ini? 

         Papert  (1971)  mencadangkan  bahawa  cara  berkesan mengajar

         pelajar berfikir ialah dengan mewjudkan suasana yang  membuka

         peluang  kepada  mereka  memberi pendapat dan menyoal.  Iaitu

         suasana dimana idea-idea boleh dibentangkan tanpa dicaci atau

         dianggap tidak menasabah.  Cara guru menilai hasil dan  usaha

         pelajar  akan  mempengaruhi  kesanggupan mereka mencuba lagi. 

         Costa (1981) telah meninjau beberapa kajian yang  menunjukkan

         bahawa  guru  yang  menerima,   membina,   mengintegrasi  dan

         memperluaskan idea-idea pelajar dapat  mempertingkatkan  daya

         pemikiran mereka. 

              Adalah penting untuk guru mewujudkan suasana yang  bebas

         daripada  tekanan  dan  menggalakkan  cetusan  idea-idea yang

         berlainan  dan  luar  biasa.  Elakkan  tumpuan  hanya  kepada

         kepada  jawapan yang `betul' sahaja tetapi melayan semua idea

         tidak kira sama ada tepat atau  tidak.  Pelajar  mesti  minat

         berfikir.  Ini  dilakukan  dengan  memberi  aktiviti-aktiviti

         yang akan merangsang pelajar berfikir secara  otomatik.  Guru

         pula  mesti  memberi  gambaran  bahawa  mereka pun sama minat

         topik yang diajar dan ini  pula  dapat  menjadi  contoh  atau

         model kepada pelajar.  Sepertimana disarankan oleh Polya,

                                       

 

                  Apa yang dinyatakan oleh guru tidak penting,

                  tetapi  apa  yang  difikirkan  oleh  pelajar

                  seribu  kali  lebih  penting.  Guru seumpama

                  bidan yang ditugas  melahirkan idea-idea  di

                  kalangan pelajar (1965, h:104). 

 

 

         AKTIVITI PEMIKIRAN

              Berikut ini ditunjukkan bagaimana guru boleh menggunakan

         buku  teks  untuk  menggalakkan  pelajar berfikir tentang isi

         yang dipelajari.  Contoh ini merupakan petikan daripada  buku

         teks Sejarah Tingkatan Dua mengenai `Pemodenan Negeri Johor'. 

         Soalan-soalan yang dikemukakan bertujuan menggalakkan pelajar

         berfikir  tentang  isi  yang dipelajari sambil memperkukuhkan

         penguasaan isi berkenaan. 

 

         ____________________________________________________________

 

                   KANDUNGAN                     AKTIVITI PEMIKIRAN

         ____________________________________________________________

 

            Datuk Jaafar dibantu  oleh  Abdul    Pada pendapat kamu

         Rahman  Andak  yang  bergelar  Datuk    bagaimanakah

         Seri  Amar  Diraja.   Beliau  adalah    `pendidikan British'

         pembesar yang sangat pintar.  Beliau    Abdul Rahman Andak

         telah mendapat  pendidikan  Biritsh.    membolehkannya

         Oleh itu, beliau  mempunyai hubungan    mengawal hubungan

         yang  rapat  dengan  pegawai British    baik dengan British?

         dan   pedagang   asing   di   Johor.    (MEMBUAT INFEREN)

         Tugasnya yang utama  ialah  mengawal

         hubungan  yang  dijalankan di antara

         kerajaan Johor dengan British ......    Bandingkan sumbangan

            Seorang lagi pembesar yang pintar    Abdul Rahman Andak

         dan  tegas  ialah Datuk Mohd. Salleh    dan Datuk Mohd.

         Perang.  Beliau yang lebih  dikenali    Salleh kepada

         sebagai  Datuk  Bentara  Luar  telah    pembangunan negeri

         memegang  beberapa  jawatan  penting    Johor.

         dari tahun 1856 sehingga tahun 1912.    (MEMBUAT BANDINGAN)

         Tugas  utama  beliau ialah merancang

         pembangunan Johor.  Tindakannya yang    Bagaimanakah melukis

         pertama  ialah  melukis  sebuah peta    peta akan memudahkan

         pembangunan negeri Johor.  Peta  itu    pembangunan negeri

         menunjukkan  semua  jalan dan bandar    Johor?

         yang akan dimajukan atau pun  dibina    (MENGHUBUNG KAIT)

         diseluroh negeri Johor.

 

         Petikan daripada Sejarah Tingkatan II (KBSM),

         Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, halaman: 85

         ____________________________________________________________

 

 

        STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN BERFIKIR DAN KEMAHIRAN BELAJAR

              Beyer  (1979)  menyatakan  bahawa kemahiran berfikir dan

         kemahiran belajar hendaklah dikenal pasti dan  diajar  secara

         langsung  mengikut  kaedah yang sistematik.  Menurut P.A.D.I. 

         kemahiran-kemahiran ini boleh diajar mengikut  empat  langkah

         (lihat  Rajah 2).  Pada langkah pertama,  guru memperkenalkan

         sesuatu  kemahiran  yang  terpilih  dan  menerangkan   dengan

         terperinci  ciri-cirinya.  Kemudian contoh-contoh diberi yang

         menerangkan  langkah-langkah  serta   peraturan   menggunakan

         kemahiran berkenaan dalam pelbagai situasi dan keadaan. 

 

   

 

 

                ___________________

                  PENERANGAN OLEH            - definisi

                  GURU               ------> - langkah-langah

                                             - contoh-contoh

                ___________________

                        

 

                ___________________

                  MODELING OLEH      ------> - contoh proses

                  GURU                          pemikiran seorang 

                ___________________             pakar

 

 

                ___________________

                  MODELING OLEH      ------> - kesedaran tentang

                  PELAJAR                       proses pemikian

                ___________________             sendiri

 

 

                ___________________

                  AMALAN OLEH        ------> - peluang untuk pelajar

                  PELAJAR                       menunjukkan kebolehan

                ___________________

 

 

 

                  Rajah 2: Pendekatan Pengajaran Sesuatu

                           Kemahiran Program P.A.D.I.

 

 

 

              Langkah kedua,  guru cuba `model' dengan menyebut secara

         lisan  apa yang berlaku dalam mindanya (`think aloud') semasa

         sesuatu   kemahiran   digunakan.   Ini   disifatkan   sebagai

         `metakognisi'  dimana  seseorang  itu peka dan sedar terhadap

         proses pemikirannya dan boleh memberitahu kepada  orang  lain

         urutan    langkah-langkah   yang   digunakan   (Flavell,1976;

         Brown,1985).   Guru  diandaiankan  seorang   pakar   manakala

         pelajar  dianggap  sebagai novis.  Melalui `modeling' pelajar

         berpeluang memahami dan menghayati proses  pemikiran  seorang

         pakar (Phillips, 1992). 

              Langkah ketiga ialah apabila  pelajar  cuba  menggunakan

         kemahiran  yang  telah dipelajari.  Kini giliran pelajar pula

         untuk menyebut secara  lisan  dengan  seberapa  perinci  yang

         boleh   proses   pemikirannya   semasa   menggunakan  sesuatu

         kemahiran  itu  (`think  aloud).   Pelajar  lain   digalakkan

         memberi  pandangan  mereka  tentang bagaimana seorang pelajar

         itu  menyelesai  masalah   pemikiran.   Perhatian   hendaklah

         bertumpu  kepada  urutan dan kelengkapan langkah-langkah yang

         diambil serta kesesuaian  strategi-strategi  yang  digunakan. 

         Akhir  sekali  pelajar  diberikan  peluang  untuk menunjukkan

         kefasihan mereka menggunakan kemahiran yang telah  dipelajari

         dalam berbagai-berbagai keadaan. 

 

         KESIMPULAN

              Memperkembangkan daya pemikiran pelajar bukanlah sesuatu

         idea  yang  baru  tetapi telah menjadi matlamat penting dalam

         kebanyakan sistem pendidikan sejak awal lagi.  Di negara kita

         selaras   dengan    falsafah    pendidikan    negara    usaha

         meniningkatkan   kemahiran  berfikir  pelajar  diketengahkan. 

         Kearah  mencapai   matlamat   ini   dicadangankan   P.A.D.I.. 

         Cadangan-cadangan  dalam  program ini agak mudah dilaksanakan

         kerana  ia  tidak  bebankan  sangat  guru.   Malah,   mungkin

         terdapat  guru-guru yang akan mengatakan pengajaran kemahiran

         berfikir memang sudah menjadi sebahagian pengajaran  seharian

         mereka. 

              Bagi  guru-guru  lain  pula  adalah  dicadangkan  bahawa

         mereka  mengkaji  semula  pendekatan  cara  pengajaran   yang

         diamalkan  setakat ini dan bagaimana kemahiran berfikir dapat

         dilahirkan.  Kejayaan program ini bergantung kepada keinginan

         guru   mencuba   idea-idea   yang    dicadangkan.    P.A.D.I.

         mencadangkan  bahawa  pengajaran  kemahiran  berfikir bermula

         dengan isi mata pelajaran iaitu  isi  yang  terkandung  dalam

         buku  teks.  Bagaimana pun guru digalakkan menggunakan bahan-

         bahan lain seperti petikan akhbar dan majalah,  sajak,  lirik

         lagu,  gambar,  pita  video dan sebagainya yang dapat menjadi

         bahan  rangsangan  untuk  memperkembangkan   daya   pemikiran

         pelajar. 

       

 

         RUJUKAN

             

         Bartlett, F.C. (1958). Thinking: An Experimental and Social

           Study. London: Allen and Unwin. 

 

         Beyer, B.K. (1979). Inquiry in the Social Studies Classroom,

           Second Edition, Columbus, Ohio: Charles E. Merrill.

 

         Brown, A. (1985). Knowing when, where, and how to remember: A

           problem of metacognition. In R. Glaser (Ed.), Advances in

           Instructional Psychology. Hillsdale, NJ: Lawrence Earlbaum

           Associates. 

 

         Chaffee, J. (1988). Thinking Critically, Boston: Houghton

           Mifflin Company.

 

         Costa, A.L. (1981). Teaching for intelligent behavior. 

           Educational Leadership, 39:29-32. 

 

         De Bono, E. (1985). De Bono's  Thinking Course, London: BBC

           Books.

 

         Flavell, J. (1976). Metacognitive aspect of problem solving.

           In L. Resnick (Ed.). The Nature of Intelligence, Hillsdale,

           NJ: Lawrence Earlbaum Associates.

 

         Fraenkel, J.R. (1980). Helping Students Think and Value:

           Strategies for Teaching the Social Studies, Englewood

           Cliffs, New Jersey: Prentice-Hall, INC. 

 

         Halpern, D.F. (1985). Thought and Knowledge : An Introduction

           to Critical Thinking, Hillsdale, NJ: Lawrence Earlbaum

           Associates.

 

         Markle, S.M. (1977). Teaching conceptual networks, Journal of

           Instructional Development, 1:13-17. 

 

         Mayer, B. (1983). Thinking, Problem Solving, Cognition, New

            York: Allyn Bacon.

 

         Nickerson, R.S., Perkins, D.N. & Smith, E.E. (1985). The

           Teaching of Thinking. Hillsdale, N.J.:Lawrence Earlbaum

           Associates, Publishers. 

 

         Papert, S. (1971). Teaching Children Thinking. Cambridge,MA:

            A.I. Laboratory M.I.T.

 

         Phillips, J.A. (1992). Metacognitive training for helping

            poor readers in the content areas, Jurnal Pembacaan, Jilid

            1, Bil. 1:11-17.

 

         Polya, G. (1965). Mathematical Discovery (Vol.2). New York:

            Wiley.